Thursday, May 15, 2008

Sabah negeri Kaya, Kenapa Penduduknya TERmiskin?

Kampung Lingkodon adalah satu kampung yang terletak di Kota Belud, Sabah. Terletak cuma lebih kurang 3 km dari pekan kota belud. Para pengundinya adalah pengundi yang mendaftar dan mengundi di bawah DUN Usukan dan Tempasuk. Manakala Parlimen pula adalah parlimen Kota Belud.

Untuk berpuluh tahun lampau sehingga hari ini, kawasan parlimen dan DUN ini dimenangi oleh parti Barisan Nasional. Penduduk kampung ini pula sebahagian besarnya merupakan pengundi setia parti BN. Dan hasil kerja keras mereka selama ini bersama rakan-rakan dari kampung-kampung jiran, Barisan Nasional atau spesifiknya UMNO tidak pernah kalah di kawasan ini semenjak dari beberapa musim pilihanraya lepas.

Namun begitu, setelah bertahun lamanya penduduk kampung ini terus meneruskan memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada BN dan calon-calonnya apakah nasib penduduk kampung ini telah benar-benar dibela? Dalam blog ini, saya tidak mahu mempersoalkan atau membandingkan kpg lingkodon dengan bandar2 besar ataupun kawasan perumahan mewah di Selangor. Cukuplah sekadar saya mempersoalkan tentang kemudahan-kemudahan asas yang memang menjadi keperluan semua rakyat untuk meneruskan kehidupan dengan selesa. Saya mahu membangkitkan apakah semua kemudahan asas sudah diberikan dengan baik?

Setelah 50 tahun merdeka, penduduk Malaysia wajarnya sudah mempunyai kemudahan asas yang lengkap. Kita faham sekiranya kemajuan-kemajuan lain belum dapat dimasukkan ke semua kampung buat masa ini. Tapi untuk kerajaan sekarang menjawab bahawa kemudahan-kemudahan asas masih belum dapat dibekalkan sepenuhnya ke semua kampung adalah suatu jawapan yang memalukan dan menyakitkan hati. Apakah negeri Sabah terlalu miskin dari hasil bumi? Bukankah Sabah salah satu dari negeri minyak di Malaysia selain Terengganu dan Sarawak? Tetapi kenapa 3 negeri ini setiap tahun diisytiharkan sebagai negeri termiskin di Malaysia. Yang paling miskin ialah Sabah, diikuti Terengganu, Perak dan Sarawak.

Saya sering memberikan jawapan bahawa kerajaan persekutuan umpama telah menjadikan negeri-negeri kaya ini sebagai sumber kewangan untuk membangunkan tempat lain. Kita satu negara, jadi kami di Sabah tiada masalah sekiranya hasil bumi Sabah juga digunakan untuk membangunkan tempat lain. Tapi adalah masalah besar sekiranya dalam mahu membangunkan tempat-tempat lain, negeri kami pula yang kekal termiskin di negara ini! Rakyat lain mewah tapi rakyat negeri ini papa kedana. Royalti minyak yang ditinggalkan untuk dinikmati oleh rakyat Sabah hanyalah tinggal 5%. Mana perginya 95%? Hasilnya, kami juga yang merana.

Tujuan utama blog ini diwujudkan sebenarnya adalah untuk fokus kepada kelemahan kerajaan BN ataupun calonnya membekalkan kemudahan asas yang baik di kampung kami selama mereka memerintah. Kami mahu perkara ini diperbaiki segera jika mereka benar-benar mahu membela rakyat dan sekiranya mereka terus dengan dalih dan alasan, tukar sahaja kerajaan ini dengan Pakatan Rakyat. Ayuh semua ahli parlimen, lompat Parti segera kalau mahu peruntukan lebih banyak untuk negeri ini. PR dah janjikan 20% royalti petroleum untuk Sabah iaitu 4 kali ganda dari nilai sekarang. Jangan jadi bodoh sangat untuk tolak peluang ini. Demi rakyat Sabah, peluang ini jangan ditolak. Saya wujudkan blog ni pun sebab menyuarakan kebuntuan dan suara penduduk kampung. Saya sendiri tak tahu mana saluran untuk menyuarakan pandangan ini. Jadi blog ini cara terbaik pada masa ini.

Pada post seterusnya, saya mahu menyentuh tentang 1)Kemudahan Jalan Raya 2)Perkhidmatan Air Paip Bersih 3)Talian telefon.
Biar rakan-rakan di semenanjung tahu hakikat sebenar di Sabah setelah UMNO berkuasa di sini selama lebih 4 penggal.

0 comments: